Categories
vmware

Pindah Windows 2000 dari fizikal ke mesin virtual VMware dengan Clonezilla dan VMware Player

Terkejut rasanya apabila diberitahu yang seorang pakar VMware tempatan dengan sijl VCP (VMware Certified Professional) mengatakan bahawa ini tidak boleh dilakukan.

Tergelak saya mendengarnya kerana telah 2 kali saya lakukan. Bagaimana?

Sebelum bermula biarlah saya ingatkan dahulu bahawa proses ini adalah rumit, serta peratusan kejayaan yang rendah kerana had-had keupayaan sistem virtual dimasa ini. Janganlah diharapkan akan keajaiban. Proses ini amat memakan masa dan menguji kesabaran. Sekarang anda telah diberi amaran yang sewajarnya.

Contoh adalah pelayan dengan sistem pengoperasian Windows 2000, pemproses mikro Pentium 4 3.6 GHz, memori akses rawak 1024 MB, cakera keras 80 GB.

Mula-mula saya but pelayan tersebut dengan Clonezilla live dan sambungkan cakera keras luaran. Saya tetapkan Clonezilla untuk menyimpan imej sandaran dari pelayan tersebut ke dalam cakera keras luaran. Anggaran masa dalam 2 jam.

Kemudian saya mulakan VMware Player dan servis ssh pada komputer riba. Cakera keras luaran tadi saya sambungkan ke komputer riba. Anggaran masa dalam 3 minit.

Pada VMware Player, saya cipta mesin virtual dengan cakera keras IDE virtual 80 GB, memori akses rawak 1024 GB. CD Clonezilla juga saya masukkan ke pemacu CD komputer riba. Anggaran masa dalam 10 minit.

Setelah itu, saya mulakan mesin virtual tadi dan Clonezilla akan dibut mesin virtual itu. Kemudian saya tetapkan Clonzilla untuk memulihkan imej yang telah disimpan ke dalam cakera keras luaran tadi ke cakera keras virtual pada mesin virtual. Anggaran masa dalam 2 jam.

Setelah selesai, apabila anda but masuk ke Windows 2000, anda akan mendapat skrin biru. Ini adalah kerana ketidak sesuaian pemacu sedia ada Windows 2000 dengan perkakasan virtual VMware.

Untuk menyelesaikan masalah ini, anda perlu but mesin virtual itu dengan CD pemasangan Windows 2000. Lakukan seolah-olah anda ingin memasang semula Windows 2000, tetapi apabila tiba saat untuk format cakera keras, pilih untuk memulihkan/repair Windows 2000 sedia ada. Apabila langkah ini selesai, anda sepatutnya telah boleh but masuk ke Windows 2000. Anggaran masa 1 jam.

Jangan lupa pasang VMware Tools untuk kelancaran penggunaan mesin virtual itu.

Selamat mencuba dan jangan lupa, pengalaman adalah segalanya. Sijil tanpa pengalaman seumpama sembang di kedai kopi.